mutakhir

Teruskan pelan asal ECRL

Oleh Asrol Awang

KERAJAAN Pahang berharap satu keputusan dapat dicapai untuk mengembalikan semula pelan asal jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, menurut perancangan awal oleh kerajaan di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), jajaran asal awal ECRL akan melalui Kelantan, Terengganu dan Pahang, seterusnya Selangor.

Katanya, terdapat beberapa faktor perancangan awal itu perlu diteruskan antaranya, untuk meningkatkan lagi penghantaran kargo dari utara berbanding ke selatan kerana di kawasan itu sudah mempunyai pelabuhan lain seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.

"Kita juga ingin melihat ECRL yang jajarannya melalui Gombak akan dilaksanakan kerana ini boleh disepadukan dengan sistem aliran Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan Transit Aliran Ringan (LRT).

"Di Pahang, projek ini sudah berada pada tahap 13 peratus atau 14 peratus.

"Apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan projek ini akan dikurangkan kos dengan perubahan yang sedikit, ia amat merugikan.

"Ini kerana kita sudah mengambil langkah untuk menyediakan tanah bagi melengkapkan projek ini," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Wan Rosdy berkata, pada 2019, tanah seluas 1,394.4 hektar yang merangkumi jarak sejauh 232.5 kilometer merentasi Bentong, Temerloh, Bera, Maran dan Kuantan sudah dalam proses untuk diambil alih.

Katanya, ECRL yang mengikut pelan asal akan membawa kembali peluang pekerjaan kepada anak Pahang, sekali gus memberikan ledakan ekonomi dan memanfaatkan rakyat negeri ini apabila siap kelak.

"Saya sudah menulis surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Mac lalu supaya dapat mengkaji semula pelaksanaan asal ECRL yang lebih menguntungkan untuk jangka masa panjang," katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 6:38pm
d