mutakhir

Jumpa tulang tangan manusia dalam bangkai buaya

Oleh Abdul Rahemang Taiming

BUAYA berukuran empat meter dipercayai menyerang dan membaham pemuda, Sukrien Jesman Yusoff, di Sungai Kalabakan, Tawau, pada 3 Julai lalu, ditemui mati pada mata pancing, hari ini.

Ia susulan perangkap dan pancing buaya dipasang Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau di beberapa lokasi di kawasan sungai itu antara 5 hingga 15 Julai lalu.

Pegawai JHL Daerah Tawau, Sailun Aris berkata, pihaknya memasang umpan di sungai Kampung Tanjung Sapi pada 15 Julai lalu dan pihaknya menemui bangkai buaya itu tersangkut pada mata pancing pada 1.30 tengah hari, hari ini.

"Berdasarkan keadaan fizikal, kami buaya itu sudah mati dalam tempoh lebih dari 24 jam.

"Kami turut memaklumkan tangkapan bangkai buaya itu kepada ahli keluarga mangsa.

"Sebagai menghormati permintaan mereka, bangkai buaya itu kemudiannya dibelah dan sisa tulang tangan manusia dipercayai milik mangsa ditemui sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk tujuan pengebumian," katanya.

Sailun berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan reptilia berkenaan turut menyerang Nur Hayati Talib, 50, dalam kejadian pada 25 Jun lalu selain beberapa lagi kes serangan buaya dilaporkan sebelum ini.

Katanya, bangkai buaya itu ditanam tidak jauh dari kawasan tebing sungai di situ oleh anggota JHL dengan bantuan penduduk kampung.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 9:38pm
d