mutakhir

Terpaksa bergelap dalam banjir

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

"BANJIR kali ini agak teruk kerana air masuk bukan setakat di dapur, malah seluruh rumah ditenggelami air hampir 0.5 meter selepas Maghrib tadi dan kini terpaksa tinggal dalam keadaan bergelap pula," kata Hisham Daud atau lebih dikenali Pak Cik Kukis.

Dia antara penduduk Taman Muhibbah, Kajang yang menjadi mangsa banjir selepas kediaman diduduki 20 tahun lalu sekali lagi ditenggelami air, hari ini.

Hisham, 51, berkata, hujan di kawasan terbabit sejak 4 petang hari ini dan ketika dia pulang ke rumah sekitar 6.45 petang, paras air sungai sudah hampir melimpah.

Menurutnya, sebelum solat Maghrib, dia menyedari air sudah masuk di bahagian dapur rumah, namun kejadian itu agak pantas apabila dalam masa setengah jam sahaja rumahnya ditenggelami air.

"Ini kali keempat kawasan ini dilanda banjir namun ini agak teruk kerana sebelum ini air hanya sampai di dapur sahaja.

"Saya hanya sempat menyelamatkan beberapa barangan sahaja namun mesin basuh dan kereta Perodua Kancil di luar rumah tidak sempat dialih," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, ketika ini dia terpaksa tinggal di dalam rumah bersama keluarga dalam keadaan bergelap selepas terputus bekalan elektrik.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 10:13pm
d