mutakhir

Melecur gerai makan terbakar

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

LELAKI melecur di tangan selepas gerai makannya terbakar di Dataran Teluk Senangin, Segari dekat Manjung, malam tadi.

Difahamkan mangsa berusia 40-an itu cedera ringan ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis menerima panggilan berhubung kejadian pada 7.45 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

"Kebakaran membabitkan sebuah gerai makan kelas B yang musnah terbakar 90 peratus termasuk peralatan dan perkakas dalam gerai itu.

"Maklumat daripada orang awam memaklumkan terdapat seorang lelaki dewasa melecur, namun sudah dihantar ke hospital sebelum bomba tiba," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kebakaran itu dikatakan berlaku ketika mangsa membuka suis lampu dalam gerainya.

Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan bomba berjaya mengawal dan memadam api sebelum operasi ditamatkan pada 9.10 malam.

Disiarkan pada: July 19, 2020 @ 12:18am
d