mutakhir

Lima daerah di Selangor dilanda banjir [METROTV]

Oleh Rafidah Mat Ruzki

BANJIR di 41 kawasan di lima daerah di Selangor mengakibatkan 265 penduduk terpaksa berlindung di pusat pemindahan apabila kediaman mereka dinaiki air sejak petang semalam.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN), Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, Hulu Langat mencatatkan jumlah kawasan paling terjejas iaitu 22 lokasi membabitkan kampung, taman perumahan serta sekolah, diikuti Sepang dengan 12 lokasi, Hulu Selangor (empat), Gombak (dua) dan Klang (satu).

Beliau berkata, tujuh pusat pemindahan dibuka bagi menampung mereka yang dipindahkan.

"Sebanyak 22 lokasi di Hulu Langat dilanda banjir iaitu Kampung Sungai Pening, Semenyih; Kampung Bukit Dukong; Kampung Sungai Sekamat; Kampung Batu 13; Kampung Sungai Balak; Kampung Sri Jambu; Kampung Sungai Jernih; Batu 10, Cheras; Sungai Raya, Batu 9; Kampung Bangi; Taman Muhibbah; Kampung Sungai Kantan; Kampung Batu 14; Kampung Sungai Ramal; Jalan Reko; Kawasan Medan Satay Kajang; Taman Taming Jaya; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS), Kajang; Sri Bangi, Seksyen 8; Teras Jernang; Kampung Sungai Serai dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Serai.

"Sebanyak 12 lokasi di Sepang pula membabitkan Taman Desa, Jenderam Hilir; Jalan Salam, Sungai Merab; Rancangan Revolusi Hijau, Dengkil; Taman Baiduri, Dengkil; Kampung Orang Asli Jenderam Hulu; Taman Lestari Mewah; Kampung Lalang; Kampung Cemperai; Kampung Sri Tanjong; Taman Mas; Taman Kristal dan Taman Permata.

"Empat lokasi di Hulu Selangor juga dinaiki air iaitu di Kampung Sentosa, Batang Kali; Taman Seri Cahaya, Batang Kali; Taman Seri, Batang Kali dan Lorong 4B, Taman Lembah Damai, Kerling," katanya ketika dihubungi.

Ahmad Fairuz berkata, dua lokasi di Gombak ialah di Lorong E5, Kampung Melayu, Sri Kundang dan Fasa 4, Taman Rahmat Jaya manakala Taman Sri Muda di daerah Klang juga dinaiki air.

Beliau berkata, tiga pusat pemindahan diaktifkan di Hulu Langat iaitu Kompleks Penghulu Batu 10 Cheras yang menempatkan sembilan keluarga (35 mangsa); Dewan Kampung Baru Sungai Chua yang menempatkan 13 mangsa daripada empat keluarga; dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai yang menempatkan 80 mangsa daripada 18 keluarga.

Katanya, empat lagi pusat pemindahan dibuka di Sepang iaitu di Dewan MPKK, Kampung Jenderam Hilir, Dengkil yang menempatkan 33 mangsa daripada lapan keluarga; Dewan Majlis Perbandaran Sepang di Dengkil yang menempatkan 81 mangsa daripada 18 keluarga dan seramai 23 mangsa daripada lima keluarga kini berlindung di Dewan KOA Dengkil manakala pusat pemindahan di Dewan Gemilang, Dengkil juga diaktifkan namun belum ada penduduk dipindahkan di situ.

Beliau berkata, Smart Selangor Command Centre (SSCC) akan terus memantau dan membuat tindakan susulan kejadian banjir itu serta akan menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya, KLIA, Selayang, Bandar Tun Hussein Onn, Kajang, Bangi, Rawang, Kuala Kubu Baru serta Sepang terbabit dalam usaha memindahkan penduduk terjejas.

Beliau berkata, paras air antara 0.6 meter hingga 1.5 meter di sesetengah kawasan di Sepang dan pihaknya menerima panggilan kecemasan susulan banjir sehingga jam lima pagi tadi.

Keadaan banjir di semua kawasan di Sepang sudah mulai susut pada jam 8 pagi tadi dan pihaknya akan menerus pemantauan sehingga banjir surut sepenuhnya.

Disiarkan pada: July 19, 2020 @ 11:37am
d