mutakhir

Terburuk sejak 2005

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Nurul Hidayah Bahaudin

PENDUDUK Taman Sri Jambu, Kajang menyifatkan banjir yang melanda kawasan itu petang semalam adalah yang terburuk sejak 2005.

Kejadian susulan hujan lebat sejak 5 petang itu menyebabkan rata-rata penduduk gagal menyelamatkan harta benda kerana air naik dengan cepat disertai arus deras dari Sungai Langat yang melimpah.

Seorang penduduk, Mohd Farid Idris, 61, berkata banjir kilat semalam adalah yang terburuk pernah melanda kawasan itu sejak 2005 apabila air naik melebihi satu meter.

Katanya, dia dihubungi jirannya yang memaklumkan air mula naik kira-kira jam 7 malam dan dia bergegas pulang.

"Ketika kejadian tiada orang di rumah kerana isteri, anak dan menantu berada di rumah seorang lagi anak di Taman Muhibbah.

"Sebaik saya tiba di rumah, saya mendapati air naik dengan cepat selain arus deras. Saya hanya sempat mengalihkan makanan seperti beras dan kelengkapan elektrik ke atas meja kerana air naik sehingga satu meter di dalam rumah," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut pesara kerajaan itu, tiga kereta, enam motosikal, perabot, barangan elektrik dan dokumen penting tidak sempat diselamatkan dalam kejadian itu.

"Selalunya banjir di kawasan ini hanya paras buku lali sahaja, namun kali ini air naik lebih satu meter," katanya yang menetap di kawasan perumahan itu lebih 30 tahun lalu.

Seorang lagi penduduk Zainal Abidin Hamzah, 55, berkata hujan lebat sejak jam 5 petang semalam, menyebabkan air di Sungai Langat yang terletak di belakang rumahnya melimpah.

"Pada mulanya, air hanya memenuhi longkang besar di jalan hadapan rumah sebelum beberapa minit kemudian air naik dengan mendadak hingga memasuki rumah.

"Saya mengarahkan isteri, anak dan menantu keluar dari rumah selepas melihat air semakin naik. Kami terpaksa menempuh arus deras sejauh 100 meter untuk ke jalan besar (Jalan Sungai Chua-Kajang) selama 20 minit.

"Kami hanya sempat mengambil dokumen penting dan terpaksa membiarkan empat kenderaan termasuk sebuah motosikal, perabot serta barangan elektrik ditenggelami air kerana nyawa kami lebih penting," katanya yang juga pekerja kilang.

Manakala Mohd Zaki Omar, 55, berkata, dia ada dimaklumkan bahawa struktur tebatan banjir di Sungai Langat berdekatan taman perumahan itu pecah.

"Ada yang maklumkan kepada kami (penduduk) bahawa ban sungai itu pecah. Keadaan itu mungkin menyebabkan banjir yang berlaku kali ini adalah paling teruk selain faktor hujan lebat.

"Empat kereta, tiga motosikal, perabot serta barangan elektrik di rumah saya rosak.

"Malah, saya tidak tidur sejak air naik semalam sehingga ia surut kira-kira jam 1 pagi tadi kerana bimbang," katanya yang juga seorang guru.

Tinjauan Harian Metro di lokasi itu mendapati kebanyakan penduduk sibuk melakukan kerja pembersihan akibat banjir berkenaan yang turut berserta lumpur.

Terdapat banyak longgokan sampah membabitkan barangan yang rosak dikumpulkan penduduk di depan rumah mereka untuk dibuang.

Disiarkan pada: July 19, 2020 @ 2:04pm
d