mutakhir

Pusat urut diserbu, penjaga lari

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

LELAKI dipercayai penyelia sebuah pusat urut bertindak melarikan diri sebaik premis diserbu penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Premis yang beroperasi di Danau Kota, Setapak itu disyaki menjalankan kegiatan pelacuran dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ditetapkan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, sebanyak lima premis diarah tutup kerana melanggar SOP PKPP dalam serbuan pada 11 malam hingga 3 pagi, Khamis lalu.

"Anggota penguat kuasa memeriksa dua pusat hiburan yang beroperasi di Mont Kiara dan mendapati pemilik tidak mengikut SOP PKPP dengan menjalankan aktiviti hiburan.

"Pelanggan juga tidak mengikut langkah penjarakan sosial seperti ditetapkan.

"Berikutan itu kedua-dua premis berkenaan diarah tutup serta-merta," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Selain itu, Nor Hisham berkata, DBKL bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut memeriksa pusat urut di Bukit Bintang dan mendapati gagal mematuhi SOP ditetapkan dengan menggaji pekerja warga asing sebagai tukang urut.

Menurutnya, premis berkenaan dikenakan tindakan kompaun mengikut Seksyen 20 (1)(b) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Industri dan Perniagaan 2016 kerana menggaji warga asing tanpa kebenaran.

"Pemeriksaan seterusnya di dua premis urut di Danau Kota yang disyaki melakukan aktiviti pelacuran. Premis pertama ditampal perintah penutupan kerana penyelia melarikan diri ketika operasi dijalankan.

"Bagaimanapun, anggota menyita kondom, ubat kuat, rekod pelanggan dan dekoder rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Serbuan di premis kedua menahan 10 wanita warga asing yang disyaki pelacur. Premis itu juga didapati ingkar PKPP kerana beroperasi selepas jam 12 tengah malam," katanya.

Menurutnya, kesemua premis disiasat mengikut Seksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Disiarkan pada: July 19, 2020 @ 5:23pm
d