mutakhir

Seni tanjak tak lapuk dek zaman

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KEMAHIRAN yang dimiliki apabila mempelajari seni membuat tanjak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) digunakan guru silat untuk menambah pendapatan menerusi jualan dalam talian.

Nor Heryhelmi Saibon, 40, berkata seni itu mendapat sambutan baik daripada orang ramai sekali gus menjadikan dirinya antara individu yang berjaya mengekalkan busana warisan Melayu.

"Sebelum ini, saya mengajar silat di sekolah-sekolah sekitar daerah Kubang Pasu, Kota Setar dan Padang Terap, tetapi saya dapat ilham hasilkan tanjak kerana aktiviti silat tidak dibenarkan ketika PKP.

"Saya pernah belajar buat tanjak jenis lipatan Dendam Tak Sudah dan belajar dengan guru silat di Tunjang.

"Tanjak pertama saya belajar ialah Nakhoda Trong dan saya merujuk juga di Youtube sebelum mengubah solek tanjak supaya lebih kreatif," katanya yang tinggal di Kampung Paya Kerchut, Jitra.

Nor Heryhelmi berkata, tanjak yang dihasilkan mendapat maklum balas baik daripada rakan-rakan sehingga mencetuskan semangat untuk lebih serius.

Katanya, dia kini mengusahakan seni pembuatan tanjak bersama rakannya Mohd Nahar Faizal Yahya Arif, 34, yang juga guru silat.

"Alhamdulillah, kami menerima banyak tempahan melalui media sosial terutama daripada pesilat-pesilat dan peminat tanjak dari seluruh negara termasuk Sabah.

"Kebanyakan tanjak yang dihasilkan untuk pemakaian orang biasa antaranya Adie Guru, Dang Selembu, Balong Raja, Nakhoda Trong, Denda Layar, Bahtera Hitam, Sisir Panglima, Pancung Tak Bertanya, Helang Menyongsong Angin, Naga Sari, Ayam Patah Kepak," katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2020 @ 6:43pm
d