mutakhir

Kerusi Dun Slim wajar ditandingi Umno [METROTV]

Oleh Ruwaida Md Zain

KERUSI Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim wajar ditandingi calon Umno memandangkan ia adalah kerusi tradisi parti berkenaan.

Bagaimanapun, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, calon bakal bertanding hanya akan diumumkan selepas perbincangan kelak.

"Tunggu pengumuman daripada parti. Mesyuarat pengurusan dan mesyuarat Biro politik belum bincang. Bila dah bincang, Presiden akan umumkan.

"Kerusi itu kerusi Umno, kerusi tradisi turun temurun. Daripada dulu pun kerusi Umno, kita pun menang di situ, kita menang berterusan di situ, maknanya di situ kubu kuat Umno.

"Memang wajar ditandingi Umno, ini bagi (pandangan) saya dan parti pun sama. Itu kerusi Umno, tiada sebab kerusi itu ditandingi parti lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada melawat mural gergasi yang memaparkan pemimpin negara termasuk beliau di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam, hari ini.

Pada 15 Julai lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim, Datuk Khusairi Abdul Talib, 59, meninggal dunia di Hospital Bentong pada 4.15 petang, akibat serangan jantung selepas rebah ketika bermain golf.

Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim itu meninggalkan seorang balu, Datin Jamilah Nordin dan tujuh anak.

Mohd Khusairi dipilih menjadi Adun Slim sejak Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU-11) pada 2004 lalu.

Pada PRU-14, beliau mengekalkan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menentang calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, iaitu Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal.

Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai laporan sebuah portal berhubung terdapat pemimpin Umno tidak bersetuju Kedah dan Terengganu diserahkan 'bulat-bulat' kepada Pas pada PRU-15.

"Kita belum bincang lagi pembahagian kerusi itu. Insya-Allah, sampai masa kita akan bincang, setakat ini tak bincang lagi," katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2020 @ 6:44pm
d