mutakhir

Penduduk lega sistem paip graviti atasi masalah bekalan air [METROTV]

Oleh Recqueal Raimi

PENYEDIAAN sistem paip graviti, penapis dan tangki baharu di Kampung Kiwoi, Tamparuli di Tuaran, melegakan lebih 500 penduduk kawasan berbukit itu yang kerap mengalami masalah air terutamanya ketika musim kemarau.

Kemudahan sistem bekalan air bersih kepada penduduk terdiri 55 rumah, surau, kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), gereja dan dewan serbaguna itu merupakan projek komuniti menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat Etiqa Takaful Bhd dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM) bertujuan membantu penduduk luar bandar.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kiwoi, Asmian Jaharin berkata, penyediaan kemudahan itu mengakhiri penantian penduduk untuk menikmati kemudahan bekalan air bersih.

Katanya, kampung berkenaan menggunakan paip usang dan memerlukan kos tinggi untuk digantikan termasuklah tangki sejauh empat kilometer (km) ke tadahan lebih tinggi untuk menerima air graviti kekal.

"Dengan lima tangki disediakan, air bukan sahaja boleh ditampung ketika kemarau.

"Malah, sistem penapis yang disediakan dapat menghalang kotoran ketika hujan lebat," katanya ditemui sempena Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Air Bersih, semalam.

Menurutnya lagi, sebelum ini penduduk dengan kerjasama sukarelawan Etiqa dan IAM bergotong-royong memasang sistem paip berkenaan.

"Program ini sekali gus menjimatkan kos penduduk kerana terpaksa mengeluarkan wang sendiri membaiki kerosakan paip sebelum ini selain mendapatkan bekalan air bersih di pekan Tamparuli.

"Kebanyakan penduduk kampung ini bekerja sebagai petani, penoreh getah dan pekebun dengan pendapatan rendah, justeru kemudahan ini amat membantu keperluan masing-masing," katanya.

Sementara itu, Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, projek pembinaan paip graviti membabitkan peruntukan RM100,000 termasuk penyediaan 80 gulung paip, empat tangki air berkapasiti 1,500 liter setiap satu, satu tangki berkapasiti 7,570 liter dan lima unit sistem penapis.

"Projek ini sebenarnya sudah siap sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan namun majlis perasmian terpaksa ditangguhkan pada hari ini (semalam)," katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 8:40am
d