mutakhir

Didenda RM7,000 kerana tetak anjing [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SEORANG lelaki didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, selepas mengaku bersalah menetak anjing pada Januari 2019.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap orang kena saman (OKS) Amir Abd Salim Meor Lope, 51, selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan pilihan itu.

Berdasarkan pertuduhan, Amir didakwa menyebabkan kesakitan yang tidak sepatutnya kepada seekor anjing di belakang bengkel kereta tidak bernombor di Jalan Miri, Taman Beringin di Jinjang Utara antara 4 dan 5 Januari 2019.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 (Akta 647) boleh dihukum mengikut Seksyen 44(1) akta sama pindaan 2013 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, bertindak atas maklumat risikan sepasukan pegawai kebajikan haiwan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Wilayah Persekutuan menjumpai seekor anjing betina yang mempunyai kesan jahitan di kaki kiri dan kanan serta kesan luka di badan dipercayai disebabkan tetakan objek tajam.

Haiwan itu ditemui di kawasan lombong Taman Wahyu 2, Batu Caves, pada jam 10.15 pagi, 2 Februari 2019.

Terdahulu, peguam Chris A Chong yang mewakili OKS memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan dan pendakwaan bersetuju supaya OKS membayar denda RM7,000.

"Persetujuan itu dibuat menerusi borang Akuan Rundingan yang ditandatangani ketiga-tiga pihak iaitu OKS, pihak pembelaan dan pihak pendakwaan," katanya.

Pegawai Pendakwa JPV Wilayah Persekutuan Hasiah Musa yang mengendalikan kes bersetuju dengan rundingan itu dan mengesahkan borang akuan berkenaan.

Selepas meneliti dan mengambil kira hujah pihak pembelaan dan pendakwaan, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM7,000 dan jika gagal bayar dipenjara empat bulan.

Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 12:13pm
d