mutakhir

Kecewa mural diconteng [METROTV]

Oleh Ruwaida Md Zain

MURAL gergasi pemimpin negara termasuk potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 dekat Shah Alam, diconteng dengan kata-kata kesat.

SAKSI di lokasi kejadian yang enggan dikenali berkata, dia terkejut dan kesal melihat karya seni anak muda itu diconteng.

"Jam 7 pagi tadi, masa lalu tepi bangunan ini, lukisan gergasi ini sudah diconteng. Saya terkejut dan terus hubungi pelukis.

"Pelukis tiba setengah jam kemudian, begitu juga polis dan orang awam pun ada ambil gambar.

"Saya sebagai orang awam, kecewa dengan sikap tidak bertamadun orang yang mencontengnya. Ini kerugian yang besar, sepatutnya pandanglah lukisan itu sebagai karya seni bukan dari sudut lain," katanya ketika ditemui di lokasi.

Sementara itu, seorang daripada tiga pelukis mural itu, Muhamad Firdaus Nordin, 26, yang turut berada di lokasi memaklumkan saksi memberitahunya berhubung kejadian itu.

"Sebaik sahaja dapat tahu, saya terus datang ke sini selepas tengok gambar dan video di 'group WhatsApp.' Sampai sini sudah ada ramai orang dan lukisan sedang ditutup," katanya yang kelihatan kecewa memandang lukisan mereka diconteng.

Tinjauan di lokasi kejadian 10.50 pagi tadi mendapati selain pelukis terbabit, polis dan pihak berkuasa tempatan mengawasi kawasan terbabit.

Lukisan itu juga ditutup dengan kanvas dan pita kuning DILARANG MASUK.

Lukisan yang diconteng itu dicat semula dengan cat putih oleh kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) 12.10 tengah hari tadi dengan kawalan pihak polis.

Berita berkaitan:

  • Agong berkenan lawat mural pemimpin negara [METROTV]
  • Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 12:42pm
    d