mutakhir

Niat saya baik - Speaker Dewan Rakyat

Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Suraya Roslan

"NIAT saya baik, bukan nak kekang perbahasan Yang Berhormat (YB) atau sebagainya," kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan @ Harun.

Beliau memberi reaksi itu bagi menjelaskan isu perubahan tempat duduk di Dewan Rakyat yang diumumkan sebelum sesi pagi bermula, hari ini, namun dipersoalkan Ahli Parlimen pembangkang menerusi Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji (PH-Jelutong).

Kata Sanisvara, tempat terkini mereka di bahagian Galeri Awam tidak selesa dan sempit berbanding tempat lama di tempat duduk pegawai di kiri Speaker.

Beliau juga mendakwa tempat itu sengaja dipilih untuk menyekat mereka bersuara di dalam dewan, apabila perlu turun bagi menggunakan mikrofon dan supaya dilihat YDP.

Azhar menjelaskan, selain melakukan tinjauan peribadi untuk melihat sendiri tempat duduk Ahli Parlimen, beliau turut berbincang dengan party whip mengenai kedudukan yang lebih selesa untuk anggota masing-masing.

"Saya sudah berbincang dengan party whip (sebelum memutuskan kedudukan terkini)... ini percubaan sahaja. Sebelum ini saya terima beberapa aduan bahawa tempat duduk yang tidak berapa sesuai disebabkan blind spot (titik buta), ada tiang besar jadi tak nampak.

"Pindah supaya senang untuk saya nampak dan apabila bangun mencelah pun, Yang Berhormat (YB) boleh dilihat rakan YB. Saya buat dengan niat yang baik," katanya.

Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin pula berkata, tempat duduk itu pernah diduduki anggota Barisan Nasional (BN) Backbenchers namun mereka tidak merungut.

"We were there before (kami pernah duduk di situ sebelum ini) tapi kami tidak complaint (mengadu) pun, tiada masalah. Tak apalah, pulangkan baliklah mereka di tempat lama," katanya.

Azhar kemudian memutuskan, anggota pembangkang yang ditempatkan di Galeri Awam boleh berpindah ke tempat duduk lama, selepas diperbincangkan dengan ketua parti masing-masing.

Perubahan tempat duduk itu dilakukan selepas beberapa aduan diterima dengan sebahagian ahli BN Backbenchers dipindahkan ke barisan belakang kanan di blok utama dewan dan sebahagian lagi duduk di tempat duduk pegawai sebelah kanan Speaker.

Manakala, ahli parlimen pembangkang yang duduk di tempat duduk pegawai di kiri Speaker kini dipindahkan ke galeri awam di bahagian belakang.

Azhar berkata, perubahan mengambil kira peraturan agar YDP dapat memandang ahli dewan semasa sesi pertanyaan dan perbahasan, selaras Peraturan Mesyuarat 35(2) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat iaitu jika dua atau lebih ahli dewan yang bangun serentak maka YDP hendaklah memanggil ahli yang terpandang dahulu olehnya.

Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 2:09pm
d