mutakhir

Inovasi troli alat pemadam api untuk golongan kurang upaya

Oleh Omar Ahmad

INOVASI alat pemadam api untuk golongan kurang upaya membolehkan tiga pegawai bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor 2019.

Alat yang dicipta Pegawai Bomba (PB) Ikhsaan Husaini Mahat, PB Richeam Bayang Basan dan PB Mohammad Azwan Memerasek itu sesuai digunakan orang kurang upaya (OKU), wanita dan warga emas ketika berdepan dengan kebakaran.

Menurut Ikhsaan, 31, minatnya terhadap inovasi membolehkan dia bersama dua rakan setugas mendapat tempat kedua pertandingan Kumpulan Inovatif Kreatif (KIK) peringkat negeri Johor baru-baru ini.

Katanya, menyedari alat pemadam api ini seberat 13 kilogram sukar untuk diangkat oleh wanita mengandung atau OKU ketika melakukan membuat pemadaman awal kebakaran, timbul idea untuk mengubah suai alat itu.

"Jadi pasukan kami membuat inisiatif dengan mencipta troli yang diubahsuai bagi membolehkan golongan sasar hanya perlu menolak saja tanpa mengangkat alat pemadam api itu," katanya ketika ditemui selepas Majlis APC di Dewan Kuaters JBPM Kempas, hari ini.

Seramai 58 pegawai bomba menerima anugerah yang disampaikan Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis.

Menceritakan pengalamannya sepanjang sembilan tahun bertugas sebagai pegawai bomba, pengalaman pertama mengendalikan kemalangan maut menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan.

"Pengalaman kerja paling tidak dapat dilupakan masa baru lepas keluar rekrut, ketika di BBP Seremban 2. Ada satu kemalangan maut membabitkan pemandu van kilang jatuh gaung.

"Selepas buat sistem tali penyelamat untuk turun ambil mayat. Saya sedia untuk bawa naik mayat ke atas, ketua operasi pada masa itu mengingatkan supaya ambil mata mangsa yang terkeluar semasa kemalangan dalam serpihan papan pemuka.

"Memang menggigil tangan ambil biji mata mangsa. Lepas balik dari uruskan kes itu esoknya saya demam seminggu," katanya yang berasal dari Felda Bukit Batu, Kulai.

Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 2:23pm
d