mutakhir

Hantar ganja guna kurier dari Eropah [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

BAWA masuk dadah dengan kuantiti sedikit dalam bungkusan kurier yang diikrar sebagai pakaian, beg vakum, alat solek, permainan video dan penyambung rambut cenderahati.

Itu helah digunakan beberapa individu membawa masuk ganja dari Eropah yang berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membabitkan rampasan sembilan bungkusan kurier pada 1 hingga 15 Julai lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Johari Alfiah berkata, rampasan itu diperoleh hasil imbasan terhadap bungkusan dikirim melalui perkhidmatan kurier dari luar negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, hasil pemeriksaan dilakukan, pihaknya mendapati semua bungkusan berkenaan mengandungi ganja seberat 224.3 gram dianggarkan bernilai RM4,565 dikirim dari Eropah dan penerimanya membabitkan individu sekitar Lembah Klang.

"Semua dadah berkenaan dipercayai dikirim individu berbeza untuk kegunaan sendiri dan kami sudah mengenal pasti individu berkenaan untuk diambil keterangan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39(1)(B) akta sama.

"Berdasarkan rekod pampasan dadah menggunakan perkhidmatan kurier pada tahun ini semakin meningkat dan membimbangkan membabitkan penyitaan 115 bungkusan kurier seberat 11.234 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM280,264," katanya pada sidang media di JKDM Zon Tengah di Kelana Jaya, Petaling Jaya, hari ini.

Dalam kes berasingan, Johari berkata, pihaknya merampas syabu, ketamin dan ekstasi dianggarkan bernilai RM244,995 menerusi serbuan di sebuah premis di Dataran Ocean, Lebuh Gopeng, Klang.

"Kami menemui syabu seberat 3.5 kg dianggarkan bernilai RM195,195, ketamin seberat 0.555 kg bernilai RM27,750 serta 735 pil ekstasi berjumlah RM22,050.

"Dalam kes ini, tiga warga asing termasuk dua wanita berusia antara 30 hingga 40 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Sindiket ini dipercayai berselindung di sebalik rumah berkerja yang didiami penghuni berlainan jantina bagi mengaburi mata pihak berkuasa untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah bagi pasaran tempatan," katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 2:44pm
d