mutakhir

Conteng lukisan mural pemimpin: MBSA lapor polis

Oleh Ruwaida Md Zain

MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA) kesal dengan perbuatan vandalisme terhadap lukisan mural bagi menghargai pemimpin negara yang komited menangani wabak Covid-19.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, tindakan menconteng lukisan mural di kawasan komersial Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab.

"MBSA memandang serius terhadap perkara itu. Tindakan vandalisme seperti ini amat dikesali kerana mural itu diabadikan sebagai menghargai peranan dan sumbangan semua pihak khususnya pemimpin negara yang bekerja keras dan komited menangani wabak Covid-19.

"Lanjutan daripada itu, MBSA mengambil langkah segera mengecat semula dinding itu dengan warna putih.

"Pada masa sama satu laporan polis dibuat di Balai Polis Seksyen 6 berhubung contengan di mural terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahrin berkata, MBSA akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan vandalisme di tempat awam.

"Tindakan akan diambil mengikut Undang-Undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005 sekiranya didapati mana-mana pihak melakukan vandalisme.

"MBSA juga ingin menasihatkan kepada semua pihak agar merujuk terlebih dulu kepada MBSA sebelum melakukan aktiviti mural di tempat awam di kawasan pentadbiran MBSA," katanya.

Dalam kejadian 7 pagi tadi, mural gergasi pemimpin negara termasuk potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diconteng dengan kata-kata kesat.

Gambar dan video yang diconteng itu mula tersebar sejak pagi tadi di media sosial.

Berita berkaitan

Kecewa mural diconteng [METROTV]

Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 2:45pm
d