mutakhir

Maut dalam perjalanan ke tempat kerja

Oleh Safuri Kamarudin

SEORANG wanita maut selepas van yang dinaikinya untuk ke tempat kerja terbabit dalam kemalangan dengan lori membawa muatan balak di Jalan Baling-Sungai Petani berhampiran Kampung Chenerai, Kuala Pegang, awal pagi ini.

Mangsa, Awatif Md Mahtar, 33, yang bekerja sebagai operator kilang Canon di Pulau Pinang dari Kampung Memali, Baling meninggal dunia di tempat kejadian.

Van kilang yang turut membawa sembilan pekerja wanita lain itu dipercayai berlanggar dengan sebuah lori kira-kira 5.10 pagi.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Syed Basri Syed Ali, berkata mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah.

Beliau berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati van membawa pekerja dari arah Baling menghala Kulim dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah lori yang membawa muatan kayu balak.

"Pemandu van, Abdul RahmanAbdullah, 49, dari Kampung Charok Bunting, Mukim Siong cedera parah manakala penumpang lain cedera ringan dan di rawat di Hospital Baling (HB).

"Kesemua pekerja itu dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja di Kilang Canon Pulau Pinang.

"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan(APJ)1987," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.25 pagi sebelum anggotanya tiba di lokasi 15 minit kemudian.

Katanya, van kilang jenis Toyota Hiace dipercayai melanggar sebuah kenderaan lain, namun kenderaan terbabit didapati tidak berada di lokasi kemalangan.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati sebuah van kilang bersama penumpang dan pemandu terbabit dalam kemalangan.

"Anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan khas bagi memotong bahagian van sebelum dapat mengeluarkan mangsa yang tersepit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, seorang penumpang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kita mengambil masa kira-kira 25 minit bagi mengeluarkan semua mangsa dan turut dibantu pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan.

"Semua penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Baling bagi mendapatkan rawatan lanjut, manakala mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kulim," katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 4:06pm
d