mutakhir

Kaki samun akhirnya tumpas di Sekinchan

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

DISIFATKAN penjenayah ganas susulan aktif melakukan kes samun dan ragut hingga ada antara mangsa patah tangan.

Suspek berusia 35 tahun itu yang kerap melakukan jenayah di sekitar Sungai Besar dan Sekinchan di sini, sejak Jun lalu tumpas selepas ditahan polis pada 14 Julai lalu.

Difahamkan suspek terbabit dalam tujuh kes termasuk menyebabkan seorang wanita patah tangan kanan dan kiri sebelum melarikan telefon bimbit dan dokumen peribadi mangsa.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, bertindak hasil risikan dan maklumat, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam berjaya menahan suspek di sebuah motel di Sekinchan di sini, pada 4 pagi semalam.

Beliau berkata, hasil soal siasat dijalankan ke atas suspek membawa kepada penemuan barang rampasan dipercayai disamun dan diragut suspek di beberapa lokasi sekitar Sekinchan.

"Kami menemui telefon bimbit pelbagai model, jam tangan, beg tangan dan dokumen peribadi milik mangsa yang disamun dan diragut.

"Siasatan juga mendapati suspek positif dadah selain mempunyai lapan rekod lampau narkotik dan jenayah," katanya dalam sidang media di IPD Sabak Bernam di sini, tadi.

Agus Salim berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 5:07pm
d