mutakhir

Lastik guli, 4 lelaki direman [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

EMPAT lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan pecah cermin bangunan sekitar bandar Alor Setar direman selama 21 hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.

Permohonan reman mengikut Seksyen 4(1)(a)Akta Pencegahan Jenayah (APJ) 1959 (POCCA) dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durrani Aziz di hadapan Majistret Siti Nurhidayah Abdul Rahim.

Mereka akan ditahan bermula hari ini sehingga 9 Ogos depan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Terdahulu tiga suspek yang berusia 24 tahun dan seorang lagi berusia 30 tahun dibawa ke mahkamah dengan menaiki dua kenderaan polis pada 9 pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh mengesahkan laporan berhubung perintah reman terhadap kesemua suspek terbabit.

Dalam tangkapan pada 26 Jun lalu, kesemua suspek ditahan kira-kira 5 pagi di sekitar bandaraya Alor Setar oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Mereka disyaki terbabit dalam sekurang-kurangnya 13 kes pecah cermin beberapa premis di sekitar bandar raya.

Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 5:39pm
d