mutakhir

Tipu rakan, ibu tunggal dipenjara 48 bulan dan denda

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SANGGUP menipu rakan sendiri, seorang ibu tunggal akhirnya menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara 48 bulan dan denda RM17,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

Majistret Noor Mazrinie Mahmood menjatuhkan hukuman itu terhadap Nurul Azia Azmi, 30, yang didapati bersalah atas tujuh pertuduhan di akhir kes pembelaan.

Tertuduh didakwa atas enam pertuduhan menipu mangsa iaitu Henny Wibawanti dengan memperdayakan wanita itu dan mendorongnya memasukkan wang berjumlah RM16,100 secara berperingkat antara 24 Mei hingga 28 Mei 2018.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa memalsukan dokumen resit rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dengan niat untuk menipu mangsa yang sama di Jalan Wakaf Tapai, Marang pada 24 Mei lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan satu hingga lima, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan dan denda RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda bagi setiap pertuduhan.

Manakala bagi pertuduhan keenam, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan denda RM2, 000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda itu.

Tertuduh turut dikenakan hukuman penjara 18 bulan bagi kesalahan memalsukan dokumen.

Bagaimanapun, Noor Mazrinie mengarahkan hukuman penjara bagi pertuduhan satu hingga enam berjalam serentak bermula daripada tarikh sabitan.

Manakala, hukuman penjara bagi pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan pula berjalan berasingan sebaik hukuman penjara 30 bulan berakhir.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh diwakili peguam Nordin Kassim.

Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 5:40pm
d