mutakhir

Gembira dapat serah lukisan kepada Dr Noor Hisham

Oleh Redzuan Muharam

HASRAT pelukis sambilan, Asyreeq Haziq Rohaizad untuk menghadiahkan karya lukisannya kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjadi kenyataan dalam satu pertemuan pada 2.30 petang, hari ini.

Pertemuan itu diadakan di pejabat Dr Noor Hisham di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Putrajaya.

Asyreeq Haziq tidak datang berseorangan, sebaliknya ditemani ibu, Azihan Ahmad serta ayahnya, Rohaizad Abu, 54.

Berkongsi pengalamannya, Asyreeq Haziq berkata, pelbagai perkara dibualkan sepanjang 30 minit pertemuannya dengan Dr Noor Hisham.

"Kami berbual panjang dan beliau meluahkan kebimbangannya kepada segelintir rakyat Malaysia yang mula tidak peka dan patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Satu pengalaman berharga buat saya dan di akhir perbualan, beliau sempat mengucapkan terima kasih kepada saya kerana menghadiahkan lukisan dan turut memuji hasil karya saya itu. Alhamdulillah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Pada 12 Julai lalu, akhbar dan portal Harian Metro melaporkan kisah Asyreeq yang mengambil masa selama lima hari untuk menghasilkan lukisan bermotifkan bandar raya Kuala Lumpur.

Lukisan itu didedikasikan khusus untuk Dr Noor Hisham yang bekerja keras dalam mengetuai petugas kesihatan ketika negara diancam Covid-19.

Pemuda berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu kemudiannya memuat naik ciapan gambarnya bersama lukisan itu pada 10 Julai lalu dan mendapat banyak maklum balas warganet, malah Dr Noor Hisham turut tidak ketinggalan meninggalkan komen memuji hasil kerjanya itu.

Rezeki menyebelahi Asyreeq apabila Dr Noor Hisham bersetuju untuk bertemu dengannya selepas menerima pelawaannya menerusi kiriman balas emel pada Jumaat lalu.

Berita berkaitan

'Lukisan hargai jasa Dr Noor Hisham'

Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 6:19pm
d