mutakhir

47 individu ditahan leka berhibur, tidak patuh PKPP

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PENGUNJUNG sebuah pusat hiburan di Pandan Indah, Ampang Jaya, yang leka berhibur ditahan polis kelmarin.

Dalam serbuan 11 malam itu, polis menahan 47 pengunjung termasuk lapan wanita dan seorang warga asing.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, ketika serbuan dilakukan premis memainkan muzik dengan kuat dan pengunjung dalam keadaan bersesak.

"Seramai 47 pengunjung terdiri daripada 39 lelaki termasuk seorang lelaki warga asing dan lapan perempuan ditahan di premis itu.

"Turut ditahan seorang daripada lelaki itu yang dipercayai menganjurkan perkumpulan di pusat hiburan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noor Azmi berkata, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan muzik dan sejumlah wang tunai.

"Saringan ujian air kencing terhadap semua pengunjung mendapati 14 individu positif dadah.

"Semua 46 pengunjung berkenaan dikompaun kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) iaitu menjalani hiburan tanpa lesen di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan (Selangor) 1995 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 8:41pm
d