mutakhir

Al Jazeera di Malaysia tiada lesen penggambaran dokumentari

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

AGENSI berita antarabangsa, Al Jazeera tidak mempunyai lesen pengeluaran filem bagi tujuan penggambaran dokumentari bertajuk Locked Up in Malaysia's Lockdown.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam satu kenyataan berkata, selain itu syarikat berkenaan juga tidak membuat permohonan Surat Perakuan Penggambaran dokumentari.

"FINAS akan memberi kerjasama kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan terhadap Al Jazeera (M) International Sdn Bhd.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 22 (1) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Pindaan 2013)," katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Pada 3 Julai lalu, dokumentari Al Jazeera bertajuk 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' berdurasi 20 minit 50 saat mendakwa berlaku diskriminasi terhadap Pati ketika Malaysia mengendalikan langkah menangani pandemik Covid-19.

Susulan penyiaran yang didakwa berat sebelah dan tidak adil, polis memulakan siasatan terhadap Al Jazeera, malah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencabar media antarabangsa itu menunjukkan bukti dakwaan berkenaan.

Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 8:56pm
d