mutakhir

Graduan, tiga penganggur ditahan edar ganja

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

POLIS menahan empat penganggur lelaki termasuk seorang graduan universiti awam selepas disyaki terbabit dalam pengedaran dan menanam sebatang pokok ganja di Perlis, pada 16 dan 17 Julai lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, empat lelaki berusia 25 dan 26 tahun itu ditahan dalam dua lokasi berasingan di Beseri, Padang Besar dan Taman Utama, Kangar pada Khamis dan Jumaat lalu.

Surina berkata, pihaknya turut merampas dua ketulan ganja mampat seberat 954.4 gram (g) dan 36.7g, sebatang pokok ganja, serbuk dan bijian kecil disyaki benih ganja seberat 9.2g dan 200 mililiter cecair disyaki minyak ganja bernilai RM5,130.

"Melalui hasil risikan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis menyerbu sebuah rumah di Beseri pada 6 petang 16 Julai dan menahan tiga lelaki dengan salah seorang daripadanya adalah graduan kejuruteraan bersama seketul ganja mampat, sejumlah biji benih disyaki benih ganja dan sebatang pokok ganja.

"Hasil daripada tangkapan pertama membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 26 tahun di Kangar bersama ketulan ganja mampat dan benih ganja pada keesokan harinya dan dia disyaki bertindak pembekal tegar bekalan ganja di sekitar negeri ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini.

Surina berkata, mereka direman sehingga 23 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6B, dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati dan penjara.

Beliau berkata, polis masih mengesan beberapa individu yang disyaki turut aktif dalam kegiatan mengedar benih ganja.

"Hasil soal siasat, semua suspek mengaku sebagai rangkaian sindiket penanaman ganja untuk diedarkan dan bertindak sebagai tokan kepada pembeli di negeri ini sejak Mac lalu.

"Mereka mengakui menjual ganja dalam bentuk benih dan ketulan bagi menjana pendapatan harian memandangkan semuanya tidak bekerja," katanya.

Surina berkata, pihaknya turut menyita dua kereta Myvi dan Saga, tiga motosikal Honda bernilai RM109,000 sebagai bahan kes.

Beliau berkata, bermula Januari lalu hingga hari ini, 177 orang ditahan di Perlis selepas terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah.

Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 9:59pm
d