mutakhir

Perkataan hasutan, rasis, biadap dan seksis dilarang [METROTV]

Oleh Hayati Ibrahim dan Suraya Roslan

YANG Dipertua (YDP) Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan@Harun memulakan sidang Dewan Rakyat hari ini dengan mengingatkan semua ahli dewan supaya supaya berbahas dengan penuh tertib dan adab susila yang sopan.

Katanya, ia bagi memastikan kepentingan rakyat dapat dibela, pada masa sama kesucian dewan sentiasa dijaga.

Beliau berkata, peringatan itu diberikan susulan pertemuan beliau dengan semua Ketua Whip parti semalam.

"Semalam saya berjumpa dengan Ketua Whip parti mengenai penggunaan perkataan berbentuk hasutan, rasis, biadap dan seksis dalam dewan ini.

"Semua Whip yang hadir sebulan suara memperbaharui komitmen mereka untuk mempertahankan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dalam memastikan perkataan berbaur hasutan, rasis, biadap dan seksis tidak digunakan di dalam dewan," katanya.

Azhar berkata, beliau berharap semua ahli Yang Berhormat memberi komitmen sama demi menjamin perjalanan dewan yang berkualiti dan beradab sopan.

Katanya, beliau dan dua timbalan Yang Dipertua akan mengambil tindakan berlandaskan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat jika perkataan itu masih oleh ahli dewan selepas ini.

"Jika masih disebut, saya ingatkan YB dan diri saya sendiri bahawa keberadaan kita di dalam dewan membawa satu tanggungjawab yang amat berat iaitu harapan rakyat kepada kita.

"Harapan rakyat adalah masalah dan keluh kesah mereka dibincangkan di dalam dewan ini dan penyelesaian dapat dicari," katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 10:57am
d