mutakhir

Pembukaan semula sempadan tak terjejas [METROTV]

Oleh Nurul Amanina Suhaini

PEMBUKAAN semula sempadan Malaysia-Singapura 10 Ogos ini tidak akan terjejas susulan pengesanan kluster Covid-19 membabitkan pusat jagaan warga emas di Kluang, semalam.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, sehingga kini, pihaknya dimaklumkan punca sudah dikenal pasti dan langkah kuarantin sudah dilaksanakan.

"Kerajaan negeri yakin dan percaya bahawa usaha untuk membuka sempadan Johor-Singapura tidak akan terjejas dengan berlakunya kes-kes baharu ini kerana pembukaan itu sudah memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat," katanya selepas menyempurnakan Majlis Pengundian Terbuka Taman Pulai Mutiara Rumah Mampu Biaya C di Johor Bahru, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil.

Hasni berkata, pihaknya akan terus memantau bagi memastikan rakyat di luar sana akan sentiasa mematuhi SOP dan mengambil langkah untuk meningkatkan disiplin menerusi jabatan atau pemimpin setempat kerana ini penting bagi Johor.

"Kita akan terus mengemukakan harapan dan permintaan (usaha dapatkan kebenaran) daripada kerajaan persekutuan (pusat) supaya kategori ketiga iaitu mereka yang bekerja harian dari Johor ke Singapura akan dapat dibenarkan dalam masa yang terdekat.

"Itu amat penting lebih-lebih lagi tentang kadar pengangguran yang meningkat, ekonomi masih tumbuh secara perlahan dan kos sara hidup tinggi. Jadi langkah bagi membuka sempadan adalah satu daripada kaedah untuk merancakkan dan memulihkan semula ekonomi, selain dari inisiatif lain yang diusahakan kerajaan," katanya.

Sementara itu, pada program berkenaan, beliau berkata, kerajaan negeri mensasarkan 5,157 Rumah Mampu Biaya (RMB) siap dibina bagi tahun ini, berbanding 3,434 unit bagi tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 12:19pm
    d