mutakhir

Kontraktor, anak disiasat buat tuntutan palsu RM50,000 [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KONTRAKTOR bersama anaknya ditahan reman bagi membantu siasatan membabitkan tuntutan palsu bernilai RM50,000 yang dibuat mereka pada 2017.

Perintah reman terhadap kontraktor berusia 48 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Alor Setar Rashidah Azmi, selama tujuh hari bermula hari ini hingga 27 Julai depan.

Sementara anaknya yang berusia 27 tahun sudah direman sejak semalam sehingga 26 Julai.

Kedua-dua mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, suspek tiba di Kompleks Mahkamah Alor Setar, kira-kira 10 pagi sambil diiringi pegawai SPRM Kedah.

Difahamkan, kontraktor itu ditahan di Pejabat SPRM negeri pada 7.35 malam semalam, manakala anaknya yang juga pengurus syarikat berkenaan ditahan pada 12.12 tengah hari kelmarin.

Kedua-dua mereka dipercayai berpakat bagi membuat tuntutan palsu untuk bayaran pembelian dan penyelenggaraan kamera litar tertutup (CCTV) sebuah kem tentera di Kedah.

Mereka dipercayai melakukan kesalahan itu pada November 2017.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan siasatan sedang dilakukan.

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 1:58pm
d