mutakhir

Tekong seludup Rohingya ditahan

Oleh Hamzah Osman

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki Myanmar disyaki cuba merasuah pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), hari ini.

Sumber memberitahu, suspek ditahan pada 3.35 pagi ketika cuba menyerahkan wang RM25,000 kepada pegawai Maritim bagi melepaskan 25 pendatang Rohingya yang mendarat dan ditahan di Langkawi, sebelum ini.

Kedua-duanya berusia 29 dan 35 tahun, dipercayai tekong yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan manusia khususnya etnik Rohingya di sekitar Langkawi.

"Mereka ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan akan direman Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah," katanya.

SPRM dijangka akan menyerahkan kedua-dua suspek kepada polis bagi membolehkan tindakan diambil mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 2:15pm
d