mutakhir

APM galakkan penyertaan belia

Oleh Mohd Khidir Zakaria

LEBIH ramai belia yang tidak mempunyai pekerjaan tetap menyertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebagai sukarelawan berdaftar.

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab berkata, setakat ini pihaknya mempunyai lebih 2.2 juta sukarelawan berdaftar di seluruh negara tetapi yang aktif hanya 30 peratus.

"Kita amat mengalu-alukan penyertaan ramai belia dan kita akan sediakan latihan bagi memahirkan mereka bertugas membantu masyarakat yang memerlukan khidmat anggota APM," katanya pada sidang media selepas Majlis Malam Santai Bersama Media di Port Dickson, malam tadi.

Katanya, seramai 9,000 kakitangan tetap dan sukarelawan APM ditugaskan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini.

"Ia membabitkan penugasan sekatan jalan raya, pemantauan prosedur operasi standard (SOP) dan penugasan melibatkan penghantaran menggunakan pengangkutan.

"Penglibatan bukan sahaja sukarelawan biasa sahaja malah membabitkan sukarelawan dari lantikan pegawai kehormat bersekutu ini yang merupakan daripada kalangan pensyarah, guru, ahli korporat dan juga artis tempatan," katanya.

Roslan berkata, APM turut terbabit dalam Ops Benteng bagi megekang kemasukan pendatang asing tanpa izin melalui sempadan negara.

"Kita bukan macam tentera, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia yang mempunyai senjata.

"Penugasan kami sebagai contoh membawa warga asing dari perairan laut ke pantai dengan menggunakan bot dan lebih kepada pembantu kepada pasukan di barisan hadapan," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Roslan menzahirkan penghargaan kepada media dalam menyalurkan maklumat kepada orang ramai mengenai APM.

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 2:36pm
d