mutakhir

Mahu lukis semula potret sama

Oleh Ruwaida Md Zain

TINDAKAN individu tidak bertanggungjawab menconteng mural gergasi yang memaparkan pemimpin dan ikon besar negara di kawasan komersil Taman Cahaya Alam U12 di sini tidak mematahkan semangat pelukisnya untuk terus berkarya.

Salah seorang pelukis mural terbabit, Muhamad Firdaus Nordin, 26, ketika ditemui Harian Metro berkata, dia dan dua rakannya, Muhammad Suhaimi Ali, 27, dan Abdul Hadi Ramli, 27, mahu melukis semula kesemua potret yang mula dilakarkan sejak Februari lalu itu jika diberi peluang.

"Kalau kawasan itu sudah berlampu dan dipasang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) beri kebenaran lukis balik semua potret itu, kami akan buat.. kami boleh buat. Sama seperti potret yang dilukis sebelum ini," katanya.

Bagaimanapun katanya, langkah menutup semua sekali mural gergasi itu dibuat selepas perbincangan dengan MBSA demi kebaikan bersama semua pihak.

"Biasanya kalau diconteng, bukan dengan kata-kata kesat..kita boleh baiki sebab tiada risiko tinggi untuk memalukan pemimpin dan ikon besar yang dilukis itu.

Tetapi bila diconteng dengan kata-kata kesat, bagi kami padam lebih baik dari 'repair' atau 'touch up' sebab (tindakan conteng) mungkin boleh berulang, sama juga, memalukan juga.

"Melainkan MBSA pasang lampu terlebih dahulu dan pasang banyak cctv, itu boleh cat balik, kami repair...Sebab kawasan itu bila malam memang gelap, cctv yang ada sekarang ini pun milik kedai di situ.

"Sebelum cat putih sepenuhnya, perkara itu sudah dibincangkan dengan kami, kalau ikutkan kami hanya mahu 'touch up' balik sebab dah lukis, sayangkan..tapi sebab kawasan itu berisiko untuk kejadian berulang, jadi kami setuju untuk cat semua sekali demi kebaikan kerana tidak mahu perkara ini berulang selepas ini," katanya.

Dalam pada itu Muhamad Firdaus berkata, dia pelukis pertama yang tiba di lokasi pagi semalam cukup terkilan melihat hasil karya itu dirosakkan dengan contengan kata-kata kesat.

"Memang saya kecewa, mula-mula sampai terkejut..dalam tiga pelukis itu, saya yang sampai dulu, saya rasa terkilan tengok depan mata sendiri, mula-mula saya tutup dengan kertas kemudian saya teringat dalam kereta saya ada kanvas biru baru saya beli.

"Saya sendiri tutup lukisan itu dengan kanvas sebab saya tak nak orang ambil gambar lagi walaupun dah ada yang viralkan..jadi saya sendiri yang tutup sebab saya rasa malu (diconteng dengan kata-kata kesat).

"Masa dapat tahu semalam pun, saya sudah sediakan cat untuk padam balik sebab kata-kata kesat itu memalukan dan merosakkan lukisan kami," katanya.

Kata Muhamad Firdaus, mural gergasi yang dihasilkan mereka bertiga itu bermula Februari tahun ini membabitkan dua pelawak popular, Allahyarham Abam Bocey atau Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32 dan Allahyarham Yussry Edoo atau Pak Yus Jambu, 39.

"Kami lukis sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masa itu tiga ikon sahaja Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Haji Awang. Tetapi kami berhenti susulan PKP.

"Sebaik Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula, kami rancang sambung balik lukisan dan tercetus idea untuk kami ambil isu Covid-19, kami bincang dan tambah ikon penting dalam isu Covid-19..Alhamdulillah siap sepenuhnya penghujung Jun.

"Arwah Abam Bocey dan Pak Yus paling awal, kami lukis masa baru-baru arwah Abam Bocey meninggal sekitar Februari. Kami rancang, dinding belah situ untuk pelawak yang dah meninggal tetapi tak berkesempatan," katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 2:51pm
d