mutakhir

'Rasa lain jika tak beli Harian Metro'

Oleh Amir Abd Hamid

"KADANG-KADANG di rumah ada dua akhbar Harian Metro. Saya dah beli tetapi isteri tak tahu, kemudian dia pula beli di pasar. Kami memang peminat nombor satu akhbar ini," kata pesara swasta Md Isa Md Saleh, 65.

Beliau antara 80,000 pembaca bertuah menerima sebotol Ribena 600 ml setiap seorang, ditawarkan percuma sempena sambutan Ulang Tahun Harian Metro Ke-29.

Md Isa berkata, setiap hari rutinnya selepas solat Subuh di surau berdekatan rumahnya di Taman Permata, Hulu Klang di Kuala Lumpur ialah ke kedai berhampiran untuk mendapatkan senaskah Harian Metro.

"Memang saya beli Harian Metro setiap hari. Jika kehabisan di kedai biasa beli di A H Mini Market, Taman Sri Keramat Tengah ini, saya akan pusing cari di kedai lain termasuk di stesen minyak di Taman Melawati," katanya ketika ditemui hari ini.

Md Isa berkata, isterinya Fatimah Muhari, 63, pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) juga peminat Harian Metro dan disebabkan itu ada kalanya terbeli dua naskhah apabila masing-masing keluar rumah ke lokasi berlainan.

Menurutnya, membaca Harian Metro adalah antara aktiviti waktu senggang selain beribadah dan lebih-lebih lagi tiga anaknya sudah besar iaitu Mohd Faizatul, 35, Mohd Faizad, 32, dan Nurfazlinda, 30.

"Cuma anak bongsu perempuan iaitu Nurfazlinda yang kami tetap jaga sepenuh masa sebab kategori Orang Kurang Upaya (OKU) sejak lahir manakala dua anak lelaki sudah bekerja dan tinggal berasingan.

Sementara itu, pembaca, Nordin Hasan, 68, pula berkata, kandungan Harian Metro yang mengetengahkan isu rakyat seperti pendedahan penyelewengan subsidi perlu kerap disiarkan untuk teguran kepada pihak berwajib.

"Contohnya isu utama Harian Metro dalam dua hari ini mengetengahkan barangan subsidi Malaysia diseludup ke Thailand. Tujuan utama subsidi diperuntukkan adalah membantu orang susah dan miskin.

"Jadi, penyelewengan berlaku ini umpama mencuri barang orang miskin... lebih teruk seludup pula ke luar negara dan ini realiti yang berlaku sekian lama.

"Isu integriti dibiarkan berlarutan akan jadi biasa, maka hasil curi dan rasuah pun tak sedar dimakan," kata bekas pesara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu.

Bagi Umar Othman, 64, pula dia sudah membeli dan membaca Harian Metro sejak awal penerbitan akhbar ini dan jika tidak mendapatkan senaskah akhbar ini, dia akan rasa lain.

Beliau berkata, akan memesan kepada peruncit di tempat biasa membeli akhbar ini di Lembah Keramat, supaya menyimpan senaskah untuknya.

"Jadi jika saya terlambat pun, saya masih boleh mendapatkan Harian Metro," katanya.

Menurutnya, dia masih mahu membaca akhbar fizikal berbanding tiga anaknya berusia 29 hingga 35 tahun yang lebih gemar membaca kandungan Harian Metro di telefon pintar.

Harian Metro, akhbar berbentuk tabloid dilancarkan pada 25 Mac 1991 sebelum penerbitannya menjadi lengkap apabila edisi Ahad, iaitu Metro Ahad pada 20 Ogos 1995 dengan keluaran pertama mencatat 100,003 naskhah.

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 3:09pm
d