mutakhir

Terlalu banyak 'baby hatch' galak kelahiran anak luar nikah [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

"TIDAK boleh terlalu banyak 'baby hatch' (pelindung bayi) nanti boleh menggalakkan dan menjadi kebiasaan melahirkan bayi luar nikah," kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.

Dr Wan Norashikin berkata, kerajaan negeri setakat ini tidak bercadang menambah 'baby hatch' sedia ada yang diselenggara oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan hospital swasta.

"Sebenarnya bukan kita tidak mahu sediakan lebih banyak tetapi apabila lebih banyak disediakan bermakna ia akan menggalakkan (bayi luar nikah).

"Tetapi kita sentiasa bekerjasama dengan NGO dan hospital swasta untuk menerima bayi yang diletakkan di 'baby hatch' ini," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya dengan kerjasama kerajaan pusat akan memperhalusi dan melihat cadangan untuk menyediakan 'baby hatch' di negeri ini.

"Bagi mengadakan 'baby hatch' itu boleh kita mempertimbangkan, tetapi untuk mengadakan lebih banyak kurang sesuai.

"Mungkin di tempat tertentu kita akan sediakan kerana kita tidak mahu lagi berlaku kes pembuangan bayi yang sangat menyedihkan," katanya.

Katanya, pada masa sama pihaknya juga sentiasa memantau pelbagai masalah sosial termasuk buang bayi, sumbang mahram dan sebagainya.

Terbaru di negeri ini, bayi lelaki masih bernyawa dan bertali pusat ditemukan berlumuran darah di bumbung sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Seri Dermawan, Bercham.

Pada 10 Julai lalu, kejadian seumpamanya berlaku di sebuah apartmen di Bandar Baru Farlim, Air Itam, Georgetown apabila bayi perempuan baru dilahirkan maut dicampak ibunya dari tingkat 13.

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 3:32pm
d