mutakhir

Konco sindiket rokok, arak dicekup

Oleh Essa Abu Yamin

LELAKI disyaki konco sindiket penyeludupan rokok dan arak tidak sempat mengedar bekalan ke kedai runcit di apabila dia ditahan di sebuah rumah di Bandar Batu Pahat, di Batu Pahat, semalam.

Lelaki tempatan berusia 59 tahun itu ditahan sepasukan anggota Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam yang melakukan serbuan jam 8.30 malam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, pemeriksaan di rumah itu menemui 675 karton rokok seludup pelbagai jenama.

"Hasil siasatan lanjut ke atas suspek membawa penemuan 188 botol arak yang dipercayai arak seludup di rumah kedua. Anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah RM175,000.00," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek disyaki terbabit dalam kegiatan mengedar rokok dan arak seludup ke kedai-kedai runcit yang tidak berlesen sekitar kawasan Batu Pahat.

"Suspek disiasat mengikut Seksyen 135 (1)Akta Kastam 1967. Tangkapan dan rampasan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 3:36pm
d