mutakhir

Janin cukup sifat di tangga loji pembetungan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

MISTERI bungkusan pelik di tangga ke loji pembetungan di sebuah kawasan perumahan di Damansara Damai, Petaling Jaya, semalam, membawa kepada penemuan janin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh Muhammad Hazrin Zulkifli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 3.15 petang.

"Seramai tujuh pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi. Sebaik tiba, kami mendapati terdapat satu bungkusan kain berwarna putih ditemui di kawasan tangga menuju ke loji pembetungan.

"Pemeriksaan menemui janin bayi lelaki cukup sifat dianggarkan berusia antara enam hingga lapan bulan di dalam bungkusan kain berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Hazrin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pekerja syarikat pembetungan selepas menemui bungkusan terbabit.

"Difahamkan pekerja terbabit menemui bungkusan itu yang diletakkan di tepi tangga berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

"Dia yang takut untuk membuka bungkusan berkenaan kemudian menghubungi kami untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, mereka membawa keluar janin berkenaan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 3:42pm
d