mutakhir

Kedai runcit sarang judi dipotong bekalan elektrik

Oleh Melvin Joni

TUJUH kedai runcit di sekitar Kuching dipotong bekalan elektrik hari ini kerana disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian haram.

Tindakan itu dibuat dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) antara jam 9 pagi hingga 1.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Bin Awang Gani berkata, semua premis terbabit didapati menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen.

"Mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953, polis boleh membuat permintaan untuk pemotongan elektrik jika mempunyai alasan munasabah premis itu menjalankan sebarang aktiviti perjudian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, polis tidak berkompromi terhadap mana-mana kegiatan perjudian secara haram, di mana tindakan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 boleh diambil ke atas mereka yang terbabit.

Awang Din berkata dalam tempoh tiga hari bermula 19 hingga hari ini, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching menyerbu empat premis judi.

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 6:02pm
d