mutakhir

Shame on you ke... on me ke, tak apalah - Azalina

Oleh Hayati Ibrahim dan Suraya Roslan

DEWAN Rakyat gamat seketika apabila Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menceritakan 'penderitaannya' ketika ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua tahun lalu.

Abdul Azeez ketika perbahasan usul titah diraja dengan lantang memberitahu dirinya dianiaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan mengusulkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi mencari kebenaran di sebalik skandal Tabung Haji (TH) yang memilukan masyarakat Islam di Malaysia.

"Sekiranya RCI ditubuhkan saya menawarkan untuk menjadi individu pertama disiasat dan disoal bagi membuktikan kebenaran dalam institusi Tabung Haji," katanya.

Abdul Azeez juga membidas Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang dulu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) yang dikatakan berniat jahat apabila memasukkan gambar Abdul Azeez dalam keadaan bergari di lokap SPRM dalam Facebooknya.

"Parit Buntar (Mujahid) seorang berniat tidak baik apabila memasukkan dalam Facebook dia gambar saya bergari lokap SPRM.

"Banyak gambar lain kalau dia baik, dia tidak akan letak gambar ini (sambil menunjukkan gambar) niat dia tidak baik.

"Saya pernah suruh Bentara minit 'YB Datuk Menteri, saya nak jumpa bincang di kantin' dan hantar ke beliau, dia jawab tidak perlu jumpa," katanya.

Perkara itu menyebabkan Ahli Parlimen Batu Kawan P Kasthuriraani bangkit mempertahankan Mujahid apabila kenyataan Abdul Azeez jelas mengelirukan dewan.

"YB Baling mengenai posting (hantaran) Facebook YB Parit Buntar (Mujahid) saya rasa YB mengeluarkan (kenyataan) mala fide.

"Parit Buntar sekadar berkongsi berita daripada laman berita bukan niat beliau memasukkan (gambar) YB Baling dengan gari walaupun itu satu fakta, memang gambar itu digunakan banyak media," katanya.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman yang baru masuk menggantikan Datuk Rashid Hasnon mengarahkan Kasthuri duduk.

"Terpulang kepada Yang Berhormat (Kasthuri), sebab YB Baling cakap dalam perbahasan, dia mempunyai justifikasi.

"Saya baru masuk, YB Baling dah habis, point of order saya dah sebut, YB kalau tidak setuju keputusan saya, you have right (awak ada hak), YB Baling sudah beri penjelasan terpulang kepada YB Batu Kawan nak terima atau tidak," katanya.

Bagaimanapun, Kasthuri sebelum duduk menyebut perkataan shame on you menyebabkan Abdul Azeez bangkit memaklumkan kepada Azalina.

"Tak apalah biarlah, saya macam inilah bagi saya perbahasan ini penting kita boleh miss out satu sesi parlimen, shame on you ke... on me ke , tak apalah," kata Azalina.

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 6:08pm
d