mutakhir

Jangan terbangkan dron sekitar Drawbridge

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LARANGAN menerbangkan dron di sekitar kawasan Jambatan Angkat atau Drawbridge susulan pemasangan papan tanda 'No Fly Zone' di lokasi itu, semalam dikuat kuasa atas faktor keselamatan.

Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd Khalizan Mahmud berkata, kegagalan mengawal dron boleh menyebabkan risiko melanggar cermin bangunan 'skybridge' yang hampir keseluruhannya terdiri daripada panel kaca yang boleh retak atau pecah jika ada impak daripada dron.

"Berdasarkan kes terdahulu, terdapat beberapa unit dron terhempas di atas bumbung menara dan kawasan persekitaran jambatan.

"Selain itu, dron ini berisiko untuk melanggar dan tersangkut pada 'lightening arrestor', memberi gangguan kepada sistem frekuensi operasi di mana sistem 'bascule' beroperasi menggunakan sistem gelombang frekuensi dan wifi selain boleh mendatangkan bahaya kepada pengunjung dan pemandu jika terhempas," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Khalizan berkata, pengurusan Drawbridge amat menghargai minat dan berterima kasih kepada penerbang dron yang memuat naik video rakaman penerbangan mereka di laman sosial.

Menurutnya, ia secara tidak langsung dapat membantu promosi dan memperluaskan informasi mengenai Drawbridge kepada penduduk tempatan dan orang luar.

Bagaimanapun, katanya, pihak pengurusan juga terikat dengan peraturan diwartakan dalam Akta Penerbangan Awam 1969 dan Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 iaitu setiap penerbang dron memerlukan permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk menjalankan aktiviti penerbangan.

"Antara langkah yang diambil untuk menjamin keselamatan, pihak pengurusan menetapkan 'No Fly Zone' di sekitar kawasan Drawbridge bagi setiap penerbangan dron dengan mendapat kelulusan permit daripada pihak berwajib.

"Bagi isu larangan memancing, kawasan larangan memancing yang dimaksudkan ialah di bawah jambatan dan kawasan R.O.W jambatan sahaja.

"Ini untuk memastikan kawasan ini bebas daripada sisa-sisa umpan yang ditinggalkan oleh pemancing yang mencemarkan pemandangan dan berbau busuk," katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 6:41pm
d