mutakhir

Diusir kerana persaingan antara ketua gajah rupanya... [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

GAJAH jantan liar seberat lebih 2.6 tan metrik yang memasuki Kampung Jalong, Sungai Siput selepas terpisah daripada kawanannya berjaya dipindahkan ke Hutan Simpan Royal Belum (HSRB), Gerik, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar, dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, operasi pemindahan menggunakan dua gajah denak betina iaitu Abot dan Rambai dengan operasi dikendalikan 10 kakitangan PERHILITAN Perak serta 11 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang.

Menurutnya, gajah yang terpisah daripada kawanannya di Hutan Simpan Piah itu berjaya ditangkap Khamis lalu.

"Operasi ini adalah yang kedua selepas gajah jantan yang diberi nama 'Yeop Jalong' dipindahkan juga dari kampung ini ke HSRB pada 5 Julai lalu.

"Tangkapan kedua ini melegakan penduduk kampung khususnya pemilik kebun kerana Yeop Jalong dan gajah yang dipindahkan hari ini sering dilihat bersama sebelum ini," katanya.

Ahmad Saidi berkata dua ekor gajah itu dipercayai diusir daripada kawanan terdiri daripada 15 hingga 20 ekor yang mendiami Hutan Simpan Piah disebabkan persaingan antara 'ketua' mereka.

"Biarpun mereka masuk ke kampung, namun mereka hanya mencari makanan dan tiada tanaman yang dilaporkan rosak angkara mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena operasi pemindahan gajah jantan liar itu yang mengambil masa lebih tiga jam hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Yusoff Shariff.

Dalam perkembangan lain Ahmad Saidi berkata, keadaan seorang anggota tentera yang diserang gajah liar ketika melakukan tugas rondaan pada 2 petang di kawasan SHRB kelmarin adalah stabil.

"Ia adalah kes terpencil kerana kejadian berlaku di kawasan habitat yang menjadi laluan gajah.

"Untuk itu saya menasihatkan semua pihak berkaitan supaya sentiasa berwaspada ketika bertugas termasuk tidak mendirikan khemah berhampiran kawasan laluan gajah, serta mengelakkan bekalan makanan terdedah," katanya.

Difahamkan serangan gajah itu berlaku kira-kira 40 kilometer dari Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) November.

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 6:55pm
d