mutakhir

Nelayan Vietnam 'kaut' gamat dicekup [METROTV]

Oleh Nor Amalina Alias

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot bersama 11 awak-awak dan dua tekong warga Vietnam dalam Ops Kuda Laut, petang semalam.

Dalam operasi itu, bot Maritim Penyelamat 7 turut merampas 120 kilogram gamat yang dikaut di perairan Kelantan dengan nilai rampasan keseluruhan RM260,000 termasuk diesel dan bot.

Pengarah APMM Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, tangkapan pertama dibuat di 56.3 batu nautika dari muara Tok Bali pada 6 petang membabitkan enam awak-awak dan seorang tekong dalam sebuah bot.

Menurutnya, bot kedua yang dinaiki lima awak-awak dan seorang tekong ditahan pada jarak 61.7 batu nautika sejam kemudian.

"Kita mendapati mereka sedang leka menangguk gamat dan berlaku kejar-mengejar selama sejam sebelum kedua-dua bot berjaya ditahan.

"Mereka berusia 16 hingga 53 tahun dipercayai turut bertindak membuang sebahagian gamat," katanya dalam sidang media di Pejabat APMM Kelantan di Pasir Puteh, hari ini.

Menurutnya, ia adalah tangkapan kali ke-26 dan ke-27 Ops Kuda Laut yang dimulakan sejak 24 Jun lalu.

Katanya, kesemua awak-awak dan tekong itu dipercayai melakukan aktiviti mencari gamat dengan menceroboh perairan negara.

"Proses membawa pulang bot nelayan turut mengambil masa selama 13 jam dan tiba di Jeti Ibu Pejabat APMM pada 8 pagi tadi," katanya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 6:55pm
d