mutakhir

'Dah dua tahun ambik syabu'

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

"DUA tahun dah ambik syabu, hari ni 'first time' kena angkut sekali dengan suami."

Demikian pengakuan penagih dadah wanita yang ditahan polis ketika sedang khayal menagih dadah bersama suaminya berusia lingkungan 30-an di port di Sungai Petani, Gunung Semanggol, Bagan Serai.

Wanita berusia 26 tahun itu antara 55 penagih ditahan dalam Ops Sarang Khas, Selama Bil 2/2020 dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama, Taiping dan Kerian, hari ini.

Ketua JSJN Perak, Asisten Komisioner Lee King Chuan berkata, semua ditahan berumur antara 21 tahun hingga 65 tahun dan penduduk tempatan dengan majoritinya bekerja kampung.

Beliau berkata, operasi bermula 12 tengah malam hingga 5 petang hari ini, membabitkan 11 pegawai dan 75 anggota.

"Dalam operasi ini, empat sarang dadah utama iaitu Batu 3, Batu Kurau, Taiping; Parit Dalam Sungai Bayor, Selama; Sungai Kuning Sungai Bayor, Selama dan Sungai Petani, Semanggol diserbu dan polis menahan 55 penagih dadah serta pengedar.

"Kami merampas dadah jenis heroin seberat 61 gram (g), syabu 12.01g dan air ketum sebanyak 1.5 liter.

"Dianggarkan nilai keseluruhan dadah dirampas RM4,581.50 dan polis percaya bekalan itu diperoleh dari negeri di utara," katanya pada sidang media di Dewan IPD Selama, hari ini.

Beliau berkata, semua ditahan kini dibawa ke IPD Selama untuk proses dokumentasi dan permohonan reman akan dibuat esok.

Menurutnya, pihaknya turut membuat intipan sarang dadah yang pernah diserbu pada 19 Jun lalu dan berjaya melakukan beberapa tangkapan.

"Biarpun port berkenaan pernah diserbu, kami tetap meneruskan pemantauan bagi memastikan tiada lagi aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di lokasi berkenaan.

"IPK Perak berjanji akan cuba sedaya mampu bagi membanteras gejala pengedaran dadah ini habis-habisan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, 39A(2), 39 A (1), dan 3 (1) Langkah Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985, "katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 9:26pm
d