mutakhir

Covid-19: Kes di Selangor kembali meningkat

Oleh Norzamira Che Noh

SELANGOR kembali mengalami peningkatan dalam kes Covid-19 apabila dua daerah zon hijau iaitu Gombak dan Hulu Langat kembali ke zon kuning selepas merekodkan kes positif baharu.

Pada minggu lalu, negeri ini merekodkan penurunan kes positif yang baik sekali gus menjadikan hampir semua daerahnya berada di zon hijau kecuali Sepang.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan COVID-19 Selangor (STFC) di Facebook, Gombak kembali ke zon kuning pada Ahad lalu apabila mukim Cheras mencatatkan satu kes baharu.

Hulu Langat yang sebelum ini merekodkan kes tertinggi memasuki zon kuning apabila satu kes baharu direkodkan di mukim Batu.

Sepang pula masih kekal di zon kuning dengan 12 kes aktif.

"STFC memandang serius laporan yang memaparkan tahap ketidakpatuhan yang mencemaskan dalam kalangan masyarakat.

"Warga Selangor seharusnya sentiasa peka dan berdisiplin mematuhi normal baru kerana negeri ini pernah mencatatkan kes jangkitan tertinggi di dalam Malaysia satu masa dahulu," katanya.

Sementara itu, enam daerah yang berada di zon hijau adalah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat, Petaling dan Hulu Selangor.

Terdapat dua kes baharu direkodkan sehingga jam 12 tengah hari semalam iaitu satu kes tempatan dan satu kes luar negara.

Sehingga kini, Selangor merekodkan 2,109 kes, 1889 kes sembuh serta 24 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 9:46am
    d