mutakhir

Nilai semula jualan TH Plantations [METROTV]

Oleh Hayati Ibrahim dan Amir Abd Hamid

KERAJAAN akan menilai semula keputusan penjualan ladangTH Plantations Berhad (THP) secara besar-besaran sama ada ia wajar dilaksanakan atau sebaliknya.

Timbakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata, ia susulan keyakinan pelabur semakin meningkat selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pemerintahan pada Februari lalu.

"Harga minyak sawit mentah kini juga kian memulih disebabkan hubungan dagangan antarabangsa kembali terjalin.

"Kami akan memikul tanggungjawab sebagai penjaga amanah pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH), dan akan sentiasa berusaha melindungi kepentingan pendeposit serta aset dan umat Islam di negara ini," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) ingin mengetahui justifikasi penjualan aset iaitu ladang oleh THP, dan berapa keluasan ladang serta berapa banyak yang sudah dijual.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, keputusan menjual 14 anak syarikat THP yang memiliki ladang berkeluasan 76,957 hektar, bersamaan 76.2 peratus daripada jumlah keseluruhan ladang milik anak syarikat THP dibuat kerajaan Pakatan Harapan pada Ogos 2019.

Menurutnya, ia susulan harga minyak sawit mentah (CPO) jatuh teruk, menyebabkan anak syarikat THP mengalami kerugian.

Sementara itu,beliau berkata, pelupusan Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisan Mas Sdn Bhd yang membabitkan kawasan seluas 6,514 hektar kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd juga sedang dimuktamadkan.

Menjawab soalan tambahan Noh sama ada penjualan aset THP di bawah harga pasaran atau sebaliknya, beliau berkata, menurut jurunilai bebas dan Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH), harganya lebih rendah.

"Penilaianyang dibuat jurunilai CH William pada 2018 adalah RM280 juta, manakala penilaian JPPH pada April lalu adalah RM224 juta, sebelum diminta dinilai semula oleh THP diturunkan kepada RM198 juta.

"Harga jualan kepada Tamaco adalah RM170 juta, lebih rendah daripada penilaian JPPH serta juruniali bebas," katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 2:08pm
d