mutakhir

Nenek 15 cucu miliki 125 pil kuda didakwa

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

NENEK kepada 15 cucu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Marang hari ini atas pertuduhan memiliki 125 biji pil kuda.

Tertuduh, Sa'adiah Ali, 63, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39a (1) akta sama dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki 125 biji pil berwarna merah disyaki dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 18.43 gram.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Batangan, Marang, jam 1 pagi pada 19 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta diwajibkan sebatan tidak kurang daripada tiga hingga tidak lebih sembilan kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 23 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Othman Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 2:11pm
d