mutakhir

SPRM tumpaskan sindiket penghantaran SMS berbayar [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan satu sindiket yang mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil manipulasi maklumat peribadi pengguna telefon bimbit dengan caj bayaran yang tidak disedari pengguna.

Lapan orang berusia antara 38 hingga 44 tahun terdiri daripada pengarah syarikat dan kakitangan teknikal tiga buah syarikat ditahan SPRM lewat petang semalam dalam operasi khas di sekitar Lembah klang.

Menurut sumber, kelapan-lapan individu terbabit yang disiasat menyediakan perkhidmatan 'SMS content services provider' iaitu penghantaran SMS berbayar kepada pemegang telefon bimbit di seluruh negara.

"Syarikat ini dikatakan menghantar SMS berbentuk promosi atau untuk perkhidmatan tertentu kepada pelanggan tanpa persetujuan.

"Pengguna akan dikenakan caj bayaran tertentu bernilai 50 sen hingga RM4 setiap SMS yang dihantar tanpa disedari pengguna.

"Sasaran sindiket ini kebanyakannya dalam kalangan pemegang telefon kad pra-bayar," katanya.

Sumber berkata, selain keuntungan yang dikutip secara haram daripada pengguna telefon bimbit, mereka juga membuat tuntutan kepada syarikat telekomunikasi (service provider) sebagai caj perkhidmatan.

"Ini bermakna, sindiket ini telah mengaut keuntungan berganda.

"Sindiket ini dipercayai merasuah kakitangan di syarikat telekomunikasi bagi mencuri dan mendedahkan nombor serta butir peribadi pengguna untuk disalahgunakan.

"Ini adalah satu kesalahan yang amat serius dari segi pembocoran dan kecurian maklumat peribadi mengikut Akta Perlindungan Data Peribadi 2010," katanya di Kuala Lumpur.

Menurut sumber itu, sindiket berkenaan dipercayai beroperasi sejak lima tahun lalu dan mengaut keuntungan bernilai jutaan ringgit.

"Rungutan mengenai penerimaan SMS berbentuk promosi dari kegiatan judi dalam talian, peraduan gores dan menang dan aktiviti penipuan dalam talian banyak diterima sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan lapan individu terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pemcegahan Rasuah Malaysia 2009.

"Kelapan-lapan individu yang ditahan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah," katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 2:19pm
d