mutakhir

Kerajaan negeri bantu selesai isu pertindihan tanah 400 penduduk

Oleh Noorazura Abdul Rahman

PADANG TERAP: Kerajaan negeri akan mengambil pendekatan terbaik dalam membantu menyelesaikan isu pertindihan tanah membabitkan kira-kira 400 penduduk di daerah ini.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, isu itu sudah berlarutan sejak sekian lama dan terdapat kes yang dibawa ke mahkamah memihak kepada syarikat berkaitan.

"Kita akan ambil tindakan berdasarkan undang-undang bagi membantu menyelesaikan pertindihan masalah pemilikan atau pajakan tanah kepada syarikat itu.

"Sebagai kerajaan, kita bertanggungjawab membantu rakyat miskin kerana nasib dan masa depan mereka harus diutamakan," katanya pada sidang media di Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap di sini, hari ini.

September tahun lalu, kira-kira 50 peneroka di Padang Sanai di sini, menggesa kerajaan negeri campur tangan dalam isu pertindihan tanah dengan sebuah syarikat perladangan yang berlarutan lebih 10 tahun.

Penduduk mendakwa mereka bakal kehilangan hasil pendapatan untuk menyara keluarga selain kerugian ratusan ribu ringgit selepas syarikat perladangan terbabit mula meratakan tanah.

Muhammad Sanusi berkata, isu pertindihan tanah itu akan diselesaikan melalui rundingan antara syarikat terbabit bersama penduduk kampung.

"Tanah ini diusahakan penduduk sejak lebih 30 tahun lalu dan menjadi sumber pendapatan mereka untuk menyara keluarga.

"Ketika ini, syarikat terbabit perlu melihat

tanggungjawab sosial mereka untuk menyumbang semula kepada rakyat miskin," katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 4:46pm
d