mutakhir

Tak jadi bunuh diri selepas terjun jambatan

Oleh Nur Izzati Mohamad

SEORANG lelaki yang tertekan dan mahu membunuh diri dengan terjun di Jambatan Pulau Pinang pagi tadi, ditemui selamat selepas berenang ke tebing.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.04 pagi berhubung tindakan lelaki berusia 21 tahun yang memberhentikan kereta dipandunya di Kilometer 2.2 ke 2.3 jambatan berkenaan untuk membunuh diri.

"Sebelum kejadian, lelaki terbabit memandu kereta bersama rakan. Dia tiba-tiba memberhentikan kenderaan sebelum keluar dan terjun ke laut untuk membunuh diri.

"Bagaimanapun, lelaki yang menetap di Nibong Tebal itu kemudiannya berenang ke tebing dan ditemui dalam keadaan selamat berhampiran Sungai Sembilang, Juru," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, lelaki itu kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri.

Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 5:57pm
d