mutakhir

Dibelasah sebelum diikat pada motosikal

Oleh Nur Izzati Mohamad

TASEK GELUGOR: Seorang pembantu pasar pagi dibelasah sebelum diikat pada motosikal oleh sekumpulan lelaki yang mendakwa dia mencuri buah kelapa dalam kejadian berhampiran sebuah kilang dekat Kampung Selamat di sini, pagi tadi.

Pada kejadian jam 5 pagi, mangsa yang juga lelaki berusia 21 tahun dalam perjalanan ke tempat kerjanya sebelum motosikal ditunggang kehabisan minyak.

Dia kemudiannya menghubungi seorang rakan untuk meminta pertolongan.

Bagaimanapun, ketika mangsa dan rakannya melalui lokasi kejadian, motosikal ditunggang mereka ditahan sekumpulan lelaki.

Mangsa kemudiannya dipukul dengan kayu serta besi manakala rakannya dapat melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, selepas dipukul, mangsa diikat pada motosikal.

"Rakan mangsa terus memaklumkan insiden terbabit kepada keluarga lelaki berkenaan.

"Hasil siasatan awal, suspek memaklumkan sudah beberapa kali melihat mangsa masuk ke kawasan mereka sebelum ini dan mencuri buah kelapa," katanya.

Menurut beliau, suspek mendakwa mereka memukul dan mengikat mangsa sebelum mahu diserah kepada polis.

Noorzainy berkata, pihaknya dapat menahan dua suspek yang terbabit dalam insiden itu tidak jauh dari lokasi kejadian.

Menurut Noorzainy, pihaknya masih menjalankan siasatan untuk memastikan kesahihan fakta diberi kedua-dua belah pihak.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan polis masih mengesan saki baki penyerang.

Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 6:32pm
d