mutakhir

Bau asap selamatkan dua beradik

Oleh Mohd Khidir Zakaria

BAU asap menyebabkan dua beradik terjaga dari tidur sebelum menyelamatkan dari kebakaran rumah mereka di Taman Intan Perdana, Port Dickson.

Menurut mangsa, Zikri Yassin Zahrizan, 13, kejadian berlaku kira-kira 3 pagi ketika tidur di bilik depan, manakala kakaknya, Yasmin Zulaika, 16, tidur dibilik sebelah.

"Ayah ketika itu tiada di rumah kerana turun ke laut mencari ketam dan saya terjaga selepas terhidu bau asap.

"Sebaik keluar dari bilik, saya nampak api sedang marak di ruang meja makan dan ketika itu kakak turut tersedar dari tidur.

"Saya segera mencapai getah paip di luar rumah dan segera menyiram api yang sedang marak," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Intan Perdana ini.

Bapanya, Zahrizan Arip, 40, berkata, ketika kejadian, dia ke pantai menangkap ketam.

"Hati saya mula rasa tidak sedap dan segera pulang ke rumah dan sampai sekitar jam 3.20 pagi dan ketika itu api sudah pun dipadamkan anak saya, Zikri.

"Saya kecewa kerana banyak barangan berharga milik arwah isteri yang hangus dan musnah, malah rumah sewa yang duduki tiga tahun rosak di ruang tamu.

"Bagaimanapuan, saya bersyukur kerana dua anak saya selamat dan sempat memadamkan api tanpa bantuan sesiapa kerana kejadian itu berlaku awal pagi ketika semua orang sedang tidur," katanya.

Zahrizan berkata, tiga lagi anak tinggal bersama kakaknya sejak diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19.

"Hampir setiap malam keluar mencari ketam untuk dijual kerana sudah diberhentikan kerja di sebuah hotel di sini sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

"Buat sementara ini, kami akan menumpang di rumah abang di Taman Politeknik tidak jauh dari sini.

"Punca kebakaran tidak pasti, tetapi jumlah kerugian anggaran sekitar RM10,000 dan yang paling saya sayang ialah barangan milik arwah isteri yang meninggal dunia tiga tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Port Dickson, Mohd Kamal Timar ketika dihubungi berkata, pihaknya dihubungi mangsa yang memaklumkan kejadian itu selepas api berjaya dipadamkan mereka sendiri dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 7:24pm
d