mutakhir

Kaji had masa jual arak

Oleh Hayati Ibrahim dan Amir Abd Hamid

KERAJAAN sedang mengkaji untuk mengehadkan penjualan minuman keras secara runcit di Kuala Lumpur dari 10.30 malam hingga 7 pagi.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, kajian dan penandarasan dengan modul pengeluaran lesen minuman keras oleh negara lain seperti Singapura sedang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Kajian penyediaan Garis Panduan Lesen Minuman Keras ini akan dilaksanakan bersama kementerian dan agensi kerajaan berkaitan lain.

"Ia termasuk Jabatan Kastam (Diraja Malaysia), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pengangkutan," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Teresa Kok (PH-Seputeh) yang ingin mengetahui rasional penggantungan pemberian lesen penjualan arak di Kuala Lumpur.

Annuar berkata, pengeluaran lesen baharu menjual minuman keras juga wajar dibekukan sementara waktu, sehingga satu garis panduan dan semakan perundangan dapat dilakukan.

Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 7:48pm
d