mutakhir

MOF laksana Jelajah Konsultansi menjelang Belanjawan 2021

Oleh Amir Mamat

KEMENTERIAN Kewangan (MOF) mempertaruhkan kaedah baharu bagi mendapatkan maklum balas awal Belanjawan 2021 yang akan dibentang pada 6 November depan.

Menterinya, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, lari dari kebiasaan, buat pertama kalinya pihak kementerian menggunakan pendekatan turun padang menerusi Jelajah Konsultansi Belanjawan 2021 di beberapa negeri yang terpilih.

Katanya, dengan cara ini, pihaknya dapat mendengar sendiri masalah yang dihadapi penggiat industri, khususnya pelancongan dan kesihatan, sebelum mengkaji setiap cadangan itu untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2021.

"Ini adalah kali pertama. Selalunya, untuk konsultansi belanjawan, kita akan bermula di Kementerian Kewangan sendiri, tetapi untuk Belanjawan 2021, kita bermula di peringkat negeri.

"Saya rasa adalah baik untuk kami pergi 'on the ground' dan mendengar masalah yang dihadapi, memandangkan dunia sedang terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Dari situ, kita akan mengkaji setiap cadangan yang diberikan kepada pihak kementerian dan selepas itu kita akan 'engage' dengan semua kementerian yang berkaitan melalui apa jua cadangan yang dikemukan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali di Seri Bendahara, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Tengku Zafrul mengadakan lawatan ke beberapa lokasi termasuk Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka dan Pusat Perubatan Mahkota di Banda Hilir, menerusi program Jelajah Konsultansi Belanjawan 2021.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan.

Melaka adalah negeri pertama pelaksanaan program Jelajah Konsultansi Belanjawan 2021 diikuti Perak serta beberapa negeri lain.

Tengku Zafrul berkata, pihaknya juga komited untuk memantau keberkesanan setiap peruntukan yang diagihkan kepada rakyat yang terkesan sepanjang tempoh Covid-19.

Katanya, menerusi cara itu, pihaknya dapat mengenal pasti sama ada peruntukan yang diagih itu memberi impak yang positif kepada rakyat ataupun sebaliknya.

Sementara itu, beliau berkata, pembayaran RM50 akan dikreditkan ke dalam e-wallet pengguna menjelang akhir bulan ini, manakala RM50 lagi dalam bentuk baucar, pulangan tunai atau diskaun.

Katanya, pembayaran akan dikreditkan menerusi aplikasi Grab, Touch and Go dan Boost.

"Pembayaran membabitkan peruntukan RM1.5 bilion dengan memanfaatkan 15 juta rakyat Malaysia," katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 8:50pm
d